Trio by Setia menggabungkan ciri-ciri rekreasi, pekerjaan, pembelajaran dan kehidupan.
Trio by Setia menggabungkan ciri-ciri rekreasi, pekerjaan, pembelajaran dan kehidupan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pemaju hartanah tempatan, SP Setia Berhad (SP Setia), melancarkan projek terbarunya, Trio by Setia membabitkan apartmen servis dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM572 juta.

Pengurus Besar Bahagian SP Setia Paul Soh berkata, Trio by Setia yang terletak di Bukit Tinggi, Klang antara projek yang dilancarkan syarikat pada tahun ini.

Menurutnya, pembangunan bersepadu di Trio by Setia menggabungkan ciri-ciri rekreasi, pekerjaan, pembelajaran dan kehidupan.

“Trio by Setia akan menjadi menara kediaman tertinggi di Klang dan hab komersial yang tersedia bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan sekitar.

“Bagi mereka yang mahu melihat unit contoh projek Trio by Setia boleh ke Trio Sales Galleria Bukit Tinggi, esok (8 April) bermula jam 10 pagi hingga 10 malam (persembahan dan aktiviti untuk keluarga bermula mulai jam 6 petang),” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Trio by Setia menawarkan pegangan bebas kepada pembeli dengan harga bermula daripada RM450,000 ke atas.

Lebih menarik, Trio by Setia menyediakan kawasan kemudahan lengkap kepada penduduk termasuk kolam renang untuk kanak-kanak, gimnasium, tempat riadah, dewan serba guna, pusat jagaan kanak-kanak, trek joging dan banyak lagi.

Dijangka siap pada Disember 2020, Trio by Setia dibangunkan di kawasan seluas 2.22 hektar dengan konsep mengutamakan gaya hidup serba moden masa kini.

Terdapat tiga blok apartmen servis yang dibangunkan dengan keseluruhan 914 unit dan bagi permulaan projek, Blok A akan dilancarkan terlebih dulu.

GDV bagi Blok A RM214 juta yang menawarkan 425 unit kediaman dengan tiga pilihan iaitu jenis A (seluas 650 kaki persegi), jenis B (900 kaki persegi) dan jenis C (1,200 kaki persegi).

Trio by Setia juga boleh diakses dengan mudah melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) serta berdekatan dengan stesen LRT Bukit Tinggi, Klang.

Selain itu, Trio by Setia juga terletak berdekatan pusat beli-belah AEON, Tesco, Giant, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Andalas dan Pusat Perubatan Arunamari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web, www.triobysetia.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 5:51 AM