FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jangan tunggu penduduk kibar bendera putih, sebaliknya dapatkan maklumat penduduk yang terkesan bagi memudahkan bantuan bakul makanan disalurkan.

Itu pesanan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan parlimen berkenaan.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, walaupun penduduk di kawasan parlimen Kuala Terengganu sudah menerima bantuan bakul makanan, tetapi pemantauan secara berterusan perlu dilakukan untuk memastikan tiada yang terpinggir.

"Seluruh JPKK di empat kawasan DUN di Parlimen Kuala Terengganu diingatkan tidak menunggu sehingga bendera putih dikibarkan sebagai isyarat meminta bantuan.

"Jawatankuasa JPKK diminta terus membuat rondaan ke setiap kediaman penduduk bertanya khabar terutama berkaitan dengan makanan," katanya pada program pelancaran agihan sumbangan di Masjid Al-Hijrah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Bandar Ahmad Shah Mohamed.

Pada majlis itu, seramai 20 daripada 200 penduduk menerima bantuan bakul makanan mengandungi beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan biskut serta barangan lain bernilai RM100.

Ahmad Amzad berkata, penduduk yang terputus bekalan makanan diminta terus menghubungi JPKK atau pegawai di pejabat parlimen untuk mendapatkan bantuan bakul makanan.

"Saya dan pegawai serta kakitangan di pejabat parlimen sedaya upaya akan berusaha supaya bantuan bakul makanan disampaikan kepada yang memerlukan.

"Sebagai manusia biasa, maafkan saya dan seluruh kepimpinan andainya masih terdapat penduduk yang belum menerima bantuan bakul makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:55 PM