Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan pertingkatkan usaha memastikan proses vaksinasi membabitkan rakyat di negeri sering dilanda bencana banjir selesai dilakukan sebelum hujung Oktober depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses suntikan vaksin tidak terganggu walaupun beberapa negeri dijangka dilanda bencana banjir.

Katanya, proses suntikan vaksin kepada penduduk di beberapa negeri terutama di Pantai Timur perlu diselesaikan menjelang hujung Oktober depan.

"Kerajaan akan memastikan proses suntikan vaksin di negeri berdepan musim tengkujuh selesai dilakukan bagi mengelak berlakunya masalah sekiranya banjir melanda.

"Proses suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan dilanda banjir perlu diselesaikan berikutan kebimbangan kerajaan akan berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya kepada media selepas menyampaikan bakul makanan Pemulih kepada 100 penduduk yang tinggal di Kondo Rakyat Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

DATUK Ahmad Amzad Hashim (tengah) semasa sidang media selepas menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Kondo Rakyat, Kuala Ibai. FOTO Ghazali Kori
DATUK Ahmad Amzad Hashim (tengah) semasa sidang media selepas menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Kondo Rakyat, Kuala Ibai. FOTO Ghazali Kori

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, suntikan vaksin dijangka sedikit menurun susulan cuti sempena sambutan Aidiladha.

Katanya, bagi memastikan program suntikan vaksin tidak terganggu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) diminta memastikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terus beroperasi.

"PPV Mega akan terus beroperasi untuk melakukan suntikan sepanjang musim cuti musim perayaan Aidiladha.

"Memang tidak dapat dinafikan akan berlaku penurunan aktiviti suntikan vaksin, tetapi suntikan harian mencatatkan lebih 460,000 semalam walaupun hari Jumaat biasanya mencatatkan penurunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:03 PM