Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

Kuala Berang: Kira-kira 120 penduduk di kawasan pedalaman wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengibarkan bendera putih bukan meminta makanan, sebaliknya minta nama didaftarkan untuk divaksinasi.

Pengerusi Ketengah Senator Datuk Razali Idris berkata, tindakan mengibarkan bendera putih itu mengejutkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berikutan semua penduduk sudah mendapat bantuan barangan keperluan asas.

Menurutnya, penduduk yang mengibar bendera putih mengakui terpaksa menggunakan kaedah itu (mengibarkan bendera) bagi menarik perhatian sukarelawan supaya membantu mendaftarkan nama mereka untuk divaksinasi.

"Sejak penubuhan sukarelawan Ketengah pada 22 Jun lalu, kita berjaya mendaftarkan seramai 25,700 penduduk di kawasan pedalaman sebagai penerima vaksin Covid-19.

"Daripada jumlah itu, 5,370 orang yang sudah menerima dos pertama vaksin," katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas di sini, hari ini.

Pada program itu, Razali menyumbangkan satu unit peti sejuk untuk tujuan penyimpanan bekalan vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan penduduk terpaksa mengibarkan bendera putih bagi menarik perhatian susulan anggota sukarelawan terlepas pandang kediaman penduduk yang menghadapi kesukaran mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Mengulas mengenai bantuan bakul makanan dan isu kibar bendera putih, Razali mengesahkan tiada penduduk di kawasan wilayah Ketengah bertindak mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan makanan.

Menurutnya, Ketengah menerusi Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB) membelanjakan sebanyak RM366,000 untuk bantuan bakul makanan kepada penduduk termasuk di luar kawasan wilayah.

"Sejak kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh (SPP) mulai 1 Jun lalu, seramai 3,200 Ketua Isi Rumah (KIR) terdiri daripada golongan B40 sudah menerima bantuan bakul makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 10:27 AM