Zaid Salim dan Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Peralihan ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi kelegaan kepada peniaga dan pengusaha premis termasuk peniaga kedai buku, alat tulis, makanan komputer di negeri ini.

Kebanyakan mereka mendakwa, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan teruk kerana ada dalam kalangan mereka yang langsung tidak memperoleh pendapatan, malah ada yang terpaksa bergadai bergolok untuk perbelanjaan harian dan melangsaikan hutang.

Pemilik kedai buku dan alat tulis, Teih Chiew Hock, 59, berkata, sejak Januari lalu hingga kini, dia hanya memperoleh jualan sekitar RM10,000 sahaja kerana kebanyakan masa premis terpaksa ditutup akibat PKP.

Disebabkan itu, katanya, dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan bulanan yang dianggarkan RM10,000 membabitkan bayaran sewa kedai, gaji pekerja, bil dan perbelanjaan lain.

"Saya memiliki dua orang pekerja dan mereka dibayar gaji penuh walaupun perniagaan ditutup.

"Saya tak berhentikan mereka kerana sebagai membalas jasa mereka yang sudah lama bekerja di sini iaitu sejak tujuh tahun lalu," katanya kepada NSTP ketika ditemui sedang membuat persiapan membersih dan mengemas barangan di kedainya di Jalan Air Jernih, di sini, hari ini.

Katanya, dia akan sentiasa memastikan pekerja dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berharap pelanggan dapat memberi kerjasama bagi mengelakkan kes Covid-19 ini kembali meningkat.

Pekerja mengemas kedai buku dan alat tulis sebagai persiapan yang bakal dibuka pada 5 Julai ini selepas kerajaan mengumumkan sektor yang dibenarkan beroperasi di Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis yang akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara(PPN) selepas memenuhi semua nilai ambang yang ditetapkan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pekerja mengemas kedai buku dan alat tulis sebagai persiapan yang bakal dibuka pada 5 Julai ini selepas kerajaan mengumumkan sektor yang dibenarkan beroperasi di Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis yang akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara(PPN) selepas memenuhi semua nilai ambang yang ditetapkan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu, pemilik kedai dan perkhidmatan baiki komputer, Mohd Shameer Mohd Sarif, 38, berkata, dia sangat lega apabila kerajaan memberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan semula.

Katanya, walaupun banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi namun ia jauh lebih baik daripada tidak boleh berniaga langsung.

"Sepanjang ditutup saya berniaga secara dalam talian, namun sambutan kurang memberangsangkan berbanding berniaga di kedai.

"Saya berharap kedai komputer dan perkhidmatan membaiki komputer terus mendapat kebenaran untuk beroperasi kerana ia penting ketika ini.

"Maklumlah pengguna komputer dan peralatan berteknologi semakin bertambah, jadi ia wajar termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Batu Enam, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Daerah Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, peralihan fasa PPN disambut baik khususnya golongan peniaga kecil yang teruk terkesan akibat pelaksanaan PKP.

"Saya berharap selepas ini banyak lagi premis perniagaan dibenarkan beroperasi seperti kedai kain, emas dan barangan tembaga yang turut terjejas pendapatan sepanjang tempoh itu (PKP)," katanya yang peniaga emas di pasar berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:09 PM