Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (kiri) berkesempatan menyantuni seorang penerima vaksin di Dewan Dato Zainal Abidin Zin. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (kiri) berkesempatan menyantuni seorang penerima vaksin di Dewan Dato Zainal Abidin Zin. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Atlet Malaysia yang berdepan masalah sepanjang fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) disaran tidak mengibarkan bendera putih.

Sebaliknya, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, terus maklumkannya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Wan Ahmad Fayshal berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa menjaga kebajikan atlet dan melalui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), mereka yang terkesan akan diberikan bantuan.

"Sekiranya ada apa-apa yang mereka perlukan sama ada bantuan bakul makanan mahupun membabitkan kesihatan, kita akan bantu.

"Buat masa ini, saya tidak dengar lagi apa-apa masalah berlaku membabitkan atlet di Malaysia.

"Kempen kibar bendera putih ini bagus cuma kita tidak perlukan bendera putih ini untuk bantu atlet," katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato' Zainal Abidin Zin di sini, hari ini.

Sementara itu, berkaitan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), Wan Ahmad Fayhsal berkata, di Perak, kira-kira 6,000 permohonan diterima.

Katanya, bagaimanapun, hanya 300 sahaja diambil untuk mengisi penempatan yang ditetapkan di seluruh Perak.

"Keperluan itu bergantung kepada belanjawan, jika Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) ada peruntukan untuk sukarelawan, kita boleh tambah lagi penempatan baharu," katanya.

Jelas beliau, di seluruh negara pula, ada 105,000 sukarelawan MyVac yang berdaftar namun hanya 5,000 sahaja yang diambil untuk bertugas di PPV ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:59 PM