LAMAN sesawang digunakan suspek yang ditahan di hadapan sebuah kedai langsir di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur, semalam, untuk kegiatan judi dalam talian.
LAMAN sesawang digunakan suspek yang ditahan di hadapan sebuah kedai langsir di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur, semalam, untuk kegiatan judi dalam talian.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pertaruhan perlawanan bola sepak Euro 2020 dalam serbuan di hadapan sebuah kedai langsir di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menjalankan serbuan berkenaan bersama pakar judi dari Ibu Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta pegawai forensik Bukit Aman di lokasi berkenaan jam 8.02 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan premis terbabit untuk pemeriksaan.

"Hasil analisa dilakukan pakar judi ke atas telefon bimbit milik suspek berkenaan mendapati wujud unsur-unsur disyaki berkaitan dengan perjudian dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit terbabit yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam alian.

"Siasatan awal dilakukan mendapati suspek dipercayai menggunakan laman sesawang nova88club.org (Nova88) dalam kegiatan itu.

"Suspek direman selama tiga hari ini hingga 3 Julai nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:25 PM