PARANG digunakan suspek ketika mengamuk. (Gambar kecil) Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
PARANG digunakan suspek ketika mengamuk. (Gambar kecil) Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
Harun Yahya


LELAKI nekad menghubungi polis selepas tidak tahan dengan sikap abangnya yang sering mengamuk terutama ketika di bawah pengaruh alkohol.

Dalam kejadian terbaru hari ini, kesabaran lelaki berusia berusia 19 tahun itu sekali lagi teruji apabila abangnya yang berusia 31 tahun sekali lagi mengamuk sambil membawa parang di sebuah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku, Sibu jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki terbabit menghubungi polis sebelum dua anggota peronda bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dilihat sedang memegang sebilah parang.

“Suspek kemudian ditahan dan dia tidak melawan sebaliknya menyerahkan sendiri parang itu kepada anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stanley berkata, difahamkan ia bukan kali pertama lelaki itu mengamuk, malah adiknya memaklumkan pergaduhan sering tercetus antara mereka.

“Sebilah parang sepanjang 50 sentimeter turut dirampas, suspek yang bekerja sebagai buruh turut ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun Stanley berkata, keluarga mangsa kemudian menarik balik laporan polis yang dibuat selepas memikirkan suspek mempunyai anak dan isteri yang turut tinggal bersama keluarganya.

“Keluarganya hanya mahu suspek ditahan sebagai pengajaran agar tidak dia tidak mengulangi perbuatannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 10:24 PM