GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kuala Lumpur membabitkan Kampung Segambut Dalam dan Jalan Kubur, Pantai Dalam berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 9 Julai.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam masa singkat apabila sebanyak 78 kes positif direkodkan daripada 646 saringan di Kampung Segambut.

"Manakala sebanyak 53 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 79 orang di Jalan Kubur, Pantai Dalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PKPD di Sabah pula membabitkan masing-masing dua lokaliti di Tawau dan Sandakan yang akan bermula Ahad ini sehingga 10 Julai depan.

Menurutnya, dua lokaliti di Tawau adalah Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih manakala di Sandakan adalah Lorong 12, 15 dan 16 Taman Fajar serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni.

"Setakat ini, KKM merekodkan 12 kes positif di Kampung Pukat Tanjung, Kampung Baru Pasir Putih (10 kes), Taman Fajar (17 kes) dan PPR Taman Murni (15 kes)," katanya.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beberapa lokaliti PKPD yang diumumkan kerajaan sebelum ini diisytiharkan tamat selepas KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan terkawal.

Beliau berkata, PKPD terbabit adalah Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu, Terengganu; Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah; Taman Villa Felca Nambazan, Penampang; Kampung Kadazan, Tawau; Kampung Lobou 1 serta Kampung Bukit Permai, Kota Kinabalu, Sabah.

Selain itu, katanya, tiga PKPD di Sabah turut ditamatkan lebih awal daripada jadual iaitu Kampung Skim Cocos, Kunak; Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan Taman Telipok Jaya, Tuaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:50 PM