PKPD di Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
PKPD di Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan lima lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing satu di Sarawak dan Pahang manakala tiga di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sarawak membabitkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah selepas berlaku peningkatan kes positif di lokaliti itu.

"Sebanyak 37 kes direkodkan hasil daripada 87 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kadar positiviti 42.53 peratus.

"Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Katanya, selain itu tiga PKPD di Sabah membabitkan Kampung Pengaraban, Kudat, empat lokaliti di Tawau dan Kampung Sugud, Penampang.

"KKM melaporkan di Kampung Pengaraban, Kudat, sebanyak 24 ujian saringan dan daripada jumlah itu lapan kes positif direkodkan dengan kadar positiviti sebanyak 33.33 peratus.

"Manakala bagi empat lokaliti di Tawau membabitkan Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10," katanya.

Menurutnya, sehingga kini KKM merekodkan 96 kes positif iaitu 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12).

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di empat lokaliti seperti dinyatakan berkuat kuasa 5 hingga 18 Jun.

"Selain itu, PKPD di Kampung Sugud, Penampang selepas 29 ujian saringan didapati 12 daripadanya disahkan positif virus itu," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain itu PKPD di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, Pahang menunjukkan peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif dikesan hasil daripada 223 ujian disaring.

"SOP (prosedur operasi standard) bagi ke semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," katanya.

Katanya, kerajaan juga melanjutkan dua PKPD iaitu di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan dan 15 mukim di Besut, Terengganu berkuat kuasa 5 hingga 18 Jun ini.

"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti berkenaan," katanya

Sementara itu, beliau turut mengesahkan penamatan tujuh PKPD iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut, Terengganu; Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang; Kampung Indani, Semporna, Sabah dan Kampung Pisang, Tawau, Sabah berkuat kuasa esok.

"Selain itu penamatan PKPD di enam mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan), Hulu Bernam Timur, Bagan Serai dan Parit Buntar.

"Penamatan PKPD turut membabitkan Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan dan Kampung Boyan, Kuching, Sarawak," katanya.

Dalam perkembangan Pasukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, beliau mengesahkan 987 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 939 individu dikompaun, 47 direman manakala seorang lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan tidak memakai pelitup muka (218), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (196), gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (135), membawa penumpang berlebihan (127), tiada penjarakan fizikal (125), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (68),aktiviti pusat hiburan (35) serta premis gagal patuhi arahan (12)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:55 PM