ANTARA barang rampasan ketika serbuan di sebuah premis dekat pusat bandar Tawau, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
ANTARA barang rampasan ketika serbuan di sebuah premis dekat pusat bandar Tawau, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dan menahan tiga individu dalam serbuan di sebuah premis dekat pusat bandar di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada 11 pagi itu, seorang lelaki dipercayai ketua sindiket bersama dua wanita masing-masing berumur antara 23 hingga 57 tahun berjaya diberkas kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

Turut dirampas sejumlah wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 selain menyita akaun berjumlah lebih RM300,000 membabitkan empat akaun bank milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan aktiviti perjudian haram.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan terbabit turut disyaki membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguatkuasa di sekitar daerah ini bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan Perintah Pembekuan Akaun di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) milik suspek.

"Permohonan reman semua suspek akan dibuat di Mahkamah Tawau esok bagi membantu siasatan dan beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 10:58 PM