GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dikuatkuasakan kerajaan pada awal bulan lalu dikenal pasti sebagai punca berlaku kenaikan harga sayur di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, keadaan itu menyebabkan pergerakan lori mengambil sayur di Cameron Highlands terbatas.

Menurutnya, selain itu prosedur operasi standard (SOP) pekerja ladang turut diperketatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan 1 Jun lalu.

"Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memberi kelonggaran dan tidak mengehadkan pergerakan lori terutama berkaitan dengan industri makanan selepas perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"MKN juga melonggarkan SOP dan membenarkan pekerja ladang sehingga 60 peratus," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Tengkawang, di sini, hari ini.

ROSOL (kiri) melihat proses suntikan vaksin dos kedua ketika melawat Klinik Kesihatan Kampung Tengkawang, Kuala Berang.FOTO Baharom Bakar
ROSOL (kiri) melihat proses suntikan vaksin dos kedua ketika melawat Klinik Kesihatan Kampung Tengkawang, Kuala Berang.FOTO Baharom Bakar

Turut hadir, Penyelaras Vaksin Covid-19 Daerah Hulu Terengganu, Dr Nur Fauzani Md Arshad.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak boleh mengambil tindakan atas dakwaan kekurangan pekerja dan alasan PKP.

"KPDNHEP hanya boleh mengambil tindakan ke atas peniaga dan pemborong jika berlaku kenaikan harga secara berlebihan.

"Sebagai contoh, jika sebelum pelaksanaan PKP 3.0 harga cili hanya RM6 sekilogram, tetapi dinaikkan sehingga RM12.00 sekilogram, kita boleh mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:14 PM