TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan. FOTO NURALIAWATI SABRI
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang bekas pengarah syarikat serta suaminya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menawarkan barangan dialisis tidak wujud dan menyembunyikan wang hasil penipuan.

Tertuduh, Zanariah Apit, 50, dan pasangannya Saifuddin Mohamad, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, Zanariah didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 62 tahun dengan menawarkan barangan dialisis yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM49,200 secara cek deposit.

Dia melakukan kesalahan itu ketika berada di Taman Peringgit Jaya, kira- kira jam 9 pagi hingga 5 petang, 11 Februari tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terhadap Saifuddin pula, dia didakwa menyembunyikan sesuatu harta melalui akaun bank miliknya iaitu wang hasil penipuan penjualan barangan dialisis tidak wujud berjumlah RM49, 200 ketika berada di Maybank Jalan Hang Tuah pada 11 Februari 2020.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 diberikan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Jefri Jaafar memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan pasangan itu mempunyai empat anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan Zanariah dijamin RM5,000 manakala Saifuddin sebanyak RM4, 000 selain menetapkan tarikh sebutan semula serta serahan dokumen pada 16 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 3:25 PM