Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan negeri diminta menyegerakan pemberian vaksin kepada gelandangan di bandar raya ini sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Mohd Rashidi Mohd Noor berkata, pihaknya sudah memaklumkan kerajaan negeri terhadap keperluan gelandangan divaksin supaya golongan itu tidak terpinggir sekali gus tidak menjadi pembawa wabak berkenaan.

"Minggu lalu, Bulan Sabit Merah menyerahkan senarai nama 229 gelandangan berdaftar di bandar raya ini kepada EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail.

"Memang ada keperluan untuk gelandangan turut terima vaksin kerana mereka golongan paling berisiko tinggi sama ada sebagai pembawa atau dijangkiti disebabkan tidak memiliki kediaman dan tinggal merata-rata.

"Kita harap 229 gelandangan yang sudah didaftarkan ini akan menerima vaksin mereka dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika pengagihan makan malam kepada gelandangan di Laman Tun Seri Lanang di sini.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi turut berharap kerajaan Johor dapat memindahkan gelandangan yang menjadikan Laman Tun Seri Lanang di Jalan Tun Abdul Razak sebagai antara kawasan kediaman utama mereka di bandar raya ini.

Katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan mempunyai rancangan untuk bina pusat khas gelandangan di Larkin.

Mohd Rashidi beramah mesra bersama gelandangan di Pusat Agihan Makanan Gelandangan di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohd Rashidi beramah mesra bersama gelandangan di Pusat Agihan Makanan Gelandangan di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Namun disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan cadangan itu belum direalisasikan.

"Bagi Bulan Sabit Merah terdapat keperluan untuk gelandangan ini dipindahkan ke penempatan lebih selesa dan mengurangkan risiko dijangkiti wabak.

Sementara itu, Mohd Rashidi turut menafikan laporan media Singapura yang mendakwa kira-kira 500 gelandangan di bandaraya ini hidup dalam keadaan daif, diabaikan dan terdedah risiko dijangkiti Covid-19.

Laporan itu turut mendakwa gelandangan tinggal di penempatan terbuka dengan ketiadaan sanitasi diri yang betul.

"Tidak benar terdapat 500 gelandangan di bandaraya ini seperti laporan media Singapura kerana Bulan Sabit Merah sudah membuat bancian hanya ada 229 gelandangan yang berdaftar dan diberikan kad khas.

"Malah terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara bergilir membantu menguruskan gelandangan di bandar raya ini terutama dalam pengagihan sumbangan makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:25 PM