GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Projek pembinaan Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di Taman Larkin Perdana, di sini, dijangka bermula pada Ogos depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, bangunan transit bagi menampung 200 gelandangan pada satu-satu masa itu dijangka siap pada Julai 2022.

Katanya, sehingga kini, dua lokasi dicadangkan bagi penempatan sementara membabitkan Anjung Singgah, Taman Nong Chik yang boleh menampung seramai 38 orang selain Pusat Perlindungan Wanita, Taman Perling yang boleh menampung 120 orang.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi tumpuan bagi melindungi gelandangan yang berisiko tinggi dan terdedah kepada jangkitan Covid-19.

"Perbelanjaan kira-kira RM103,600 secara bulanan dan RM35,000 secara 'one-off' turut disediakan bagi membantu gelandangan yang akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling.

"Kos ini termasuk penyediaan keperluan makanan, peralatan pembersihan diri, elaun harian petugas dan lain-lain kos operasi harian," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB hari ini.

Beliau berkata, seramai 229 gelandangan di kawasan MBJB yang berdaftar dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Katanya, projek itu kelak meliputi komponen pembangunan seperti bangunan transit gelandangan dua tingkat lengkap dengan ruang pejabat, bilik rawatan, bilik penginapan, selain dewan makan, surau, bilik sakit dan isolasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:50 AM