Laporan sebelum ini.
Laporan sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiada individu yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam kenyataan memuji komitmen pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa pegawainya dalam kes rasuah di mahkamah, hari ini.

Menurutnya, tindakan tegas itu sememangnya disokong oleh seluruh masyarakat dalam usaha memastikan rasuah di Malaysia dapat dibasmi tanpa mengira pelaku.

"Semua agensi kerajaan pastinya tidak boleh berkompromi jika terdapat pegawai mereka yang disyaki terbabit walau dalam apa jenis jenayah sekali pun.

"Pegawai itu perlu disiasat dengan teliti dan didakwa serta dihukum jika didapati bersalah," kata kenyataan itu.

Media hari ini melaporkan, SPRM mendakwa seorang pegawainya bersama seorang lagi individu atas kesalahan rasuah di Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Pegawai berkenaan, Shahrul Izuan Mohd Zin, 41, dituduh bersubahat dengan Teoh Peng Sin, 55, bagi menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan terhadap seorang individu bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Kedua-dua tertuduh ditahan oleh SPRM pada 14 April lalu dan pertuduhan hari ini dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh.

Mengulas lanjut, MCW berkata, pendakwaan kes itu pastinya memberi kesan mendalam kepada semua penjawat awam, termasuk SPRM bahawa mereka sentiasa dipantau dan tidak kebal selain boleh dijadikan pengajaran.

"MCW berharap pendakwaan ini tidak akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap SPRM.

"Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jika hanya segelintir yang tersalah langkah, ini bukan bermakna semuanya rosak dan tidak amanah," kata kenyataan itu lagi.

Berita berkaitan

SPRM dakwa pegawainya terima suapan RM100,000

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 11:06 PM