NAIB Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin menerima vaksin di PPV UMS. FOTO Rafiqah Dahali
NAIB Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin menerima vaksin di PPV UMS. FOTO Rafiqah Dahali
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah hanya merekodkan tambahan seramai 789 pendaftaran baharu penerima vaksin Covid-19 pada hari ini, menjadikan peratusan pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah sebanyak 22.9 peratus sahaja setakat ini.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan peratusan itu mewakili 670,282 orang, masing-masing 601,736 mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang (68,315) dan 231 lagi melalui talian vaksinasi.

"Pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah 789 orang, menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini ialah sebanyak 670,282 orang atau bersamaan 22.9 peratus," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya negeri ini merekodkan pendaftaran di bawah 40 peratus, iaitu berada di belakang Kelantan (42.08 peratus) dan Terengganu (47.95 peratus).

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, statistik penduduk yang sudah menerima vaksin menunjukkan seramai 181,522 orang mendapat dos pertama suntikan menerusi PICK Fasa 2, termasuk 8,724 orang pada hari ini.

"Bagi suntikan dos kedua Fasa 2 pula, seramai 1,254 orang menerima suntikan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 50,669 orang.

"Bagi suntikan dos pertama dan kedua PICK Fasa 1, tiada suntikan baharu hari ini. Sehubungan itu, kumulatif penerima suntikan bagi kedua-dua dos kekal seramai 60,140 orang dan 53,186 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 11:16 PM