Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Satu perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat ini antara tiga kementerian bagi mengkaji untuk menetapkan harga siling minyak masak dalam botol lima kilogram mengikut harga pasaran semasa.

Perbincangan itu membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri PDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, ia adalah sebagai jaminan kerajaan yang sedang berusaha untuk memastikan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak masak ketika pandemik Covid-19.

"Oleh itu, keputusan (harga siling) akan kita tengok dalam mesyuarat itu nanti," katanya ketika sidang media selepas melakukan pemeriksaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 dan bekalan minyak masak di sini, hari ini.

ROSOL (kiri) melihat harga minyak masak botol yang dipegang oleh Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam (tengah) ketika pemeriksaan pematuhan SOP Akta 342 dan bekalan minyak masak di pasar raya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ROSOL (kiri) melihat harga minyak masak botol yang dipegang oleh Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam (tengah) ketika pemeriksaan pematuhan SOP Akta 342 dan bekalan minyak masak di pasar raya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Hadir sama, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam.

Justeru katanya, KPDNHEP menyarankan rakyat supaya mendapatkan minyak masak pek satu kilogram sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan itu.

Sementara itu, Rosol menafikan minyak masak yang pek satu kilogram adalah minyak masak kitar semula.

"Ia bukan minyak masak kitar semula, tetapi minyak yang bermutu sama seperti minyak masak dalam botol.

"Cuma hanya minyak masak pek satu kilogram disubsidi kerajaan dan harganya tidak boleh lebih daripada RM 2.50 sekilogram.

"Tuduhan ia minyak masak kitar semula dan kualiti rendah adalah satu tuduhan yang tidak boleh diterima," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan kuota 60,000 metrik tan minyak masak pek satu kilogram setiap bulan dan mencukupi bagi menampung keperluan 32 juta rakyat di negara ini.

"Kadar penggunaan minyak masak untuk satu keluarga di Malaysia ialah 1.8 kilogram sebulan. Jika diikutkan, ia (bekalan minyak bersubsidi) ini cukup untuk rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:04 PM