GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Golongan yang mahu menerima vaksin secara sukarela sebenarnya lebih ramai berbanding antivaksin.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, perkara itu terbukti apabila slot janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca penuh dalam masa singkat selepas dibuka kepada umum.

"Sebelum itu, seolah-olah dilihat ramai yang mempertikaikan AstraZeneca, tetapi apabila kerajaan membuka slot tempahan secara sukarela, kita lihat ramai yang memohon.

"Di sini dapat dilihat ramai yang mahu menerima vaksin tetapi mereka senyap. Golongan yang tidak bersetuju pula terlalu vokal di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap pengambilan vaksin.

"Ada juga pengikut antivaksin menggunakan akaun media sosial palsu sehingga seolah-olah nampak penyokong mereka ramai. Tapi dengan pendaftaran AstraZeneca siri pertama dan kedua, saya membuat kesimpulan golongan antivaksin yang kelihatan ramai itu sebenarnya tidak wujud di dunia sebenar, mereka hanya pandai bermain papan kekunci di media sosial tetapi takut berdepan realiti," katanya menerusi siri Webinar bertajuk 'Vaksin Covid-19, Jangan Pandang Remeh' anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Selain beliau, panel lain membincangkan topik berkaitan vaksin ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rohani Ismail; Penyelidik Bersekutu IPSAS dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Barakatunnisak Mohd Yusof dan Pegawai Pendidikan Kesihatan di Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK) KKM, Khairulnissa Abdul Kadir.

Webinar itu dikendalikan oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman sebagai moderator.

Dr Malina berkata, kejayaan dalam mengawal wabak Covid-19 bukan saja bergantung kepada kerajaan, KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN0 saja sebaliknya ia peranan setiap individu.

"Kluster dan sporadik bukan terpisah, ia saling berkait rapat antara satu sama lain, kalau dilaporkan kluster tempat kerja, kita kena fikir orang di situ ada keluarga dan individu lain di sekelilingnya sekali gus berpotensi merebakkan wabak.

"Di sini peranan kita untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP), berhati-hati dan sentiasa menganggap individu yang bukan duduk serumah dengan kita berpotensi menyebabkan penularan walaupun kawan rapat," katanya.

Sementara itu, Khairulnissa berkata, berdasarkan kajian dilakukan oleh empat institusi iaitu Universiti Malaya (UM), Pusat Kajian Klinikal (ICR), Bahagian Pendidikan Kesihatan (BPK), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada antara April 2020 hingga Januari 2021 mengenai faktor pendorong kepada penerimaan dan penolakan vaksin Covid-19 di Malaysia mendapati penerimaan vaksin tinggi.

"Penerimaan itu berkurangan pada Disember 2020 namun kajian USIM pada Januari 2021 mendapati bilangan responden yang menyokong vaksin meningkat kembali.

"Alasan utama untuk penerimaan vaksin antaranya ialah rasa selamat digunakan, yakin vaksin dapat mencegah penularan wabak, tidak meragui bahan vaksin dan untuk mendapatkan imuniti berkelompok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 4:34 PM