Nur Amira Syafiwah Ahmad, 18 bersama ibunya, Zainab Hassan, 58 ketika mengambil keputusan SPM.
Nur Amira Syafiwah Ahmad, 18 bersama ibunya, Zainab Hassan, 58 ketika mengambil keputusan SPM.
Sri Ayu Kartika Amri


Selayang: "Ibu adalah idola saya dan walau bagaimanapun keadaan kami sekeluarga ibu sentiasa berfikiran positif," luah Nur Amira Syafiwah Ahmad, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang yang mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Nur Amira yang bercita-cita menjadi seorang akauntan berkongsi kisah perjuangannya yang tidak pernah berputus asa untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

Anak tunggal itu berkata, bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh tidak lagi mampu mencari rezeki berikutan keadaan kesihatannya yang uzur manakala ibunya pula bekerja sebagai pembersih di kawasan flat di sini.

"Ibu yang paling banyak membantu saya, macam mana keadaan pun dia gigih berusaha dan dengan memastikan saya mendapat keputusan cemerlang inilah cara saya membalas jasa ibu.

"Malah, cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang saya untuk terus memberi fokus dalam pelajaran, walaupun kadang kala terpaksa berdepan dengan masalah gangguan internet.

"Alhamdulillah saya anak tunggal, jadi tiada masalah sangat untuk saya fokus kelas pembelajaran, ibu dan ayah juga faham memberi saya ruang apabila ada kelas," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Nur Amira berkata, sekarang dia sedang mengikuti kursus 'micro-credetial' di Kolej Antarabangsa Unifield, Negeri Sembilan.

"Sebelum ini (April hingga Mei) saya tinggal di asrama kolej dan sekarang duduk di rumah ikut kelas online dan menyiapkan tugasan.

"Syukur baru-baru ini saya ada menerima temuduga Kolej Matrikulasi Selangor dalam jurusan perakauan profesional dan keputusannya pada Julai ini," katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak sekiranya mendapat peluang melanjutkan pengajian di luar negara.

Ditanya adakah dia pernah menerima bantuan daripada mana-mana agensi, Nur Amira berkata, setakat ini keluarganya masih tidak pernah meminta dan menerimanya.

"Saya tidak mengharap bantuan sebab rasakan masih mampu, namun jika ada pihak yang sudi menaja untuk membiayai pengajian, saya sedia menerima.

"Paling yang saya utamakan sekarang adalah belajar bersungguh dan mahu membalas jasa ibu bapa saya selain memberi kehidupan lebih selesa untuk kedua orang tua saya.

"Buat masa ini, kami bergantung dengan gaji ibu sebagai 'cleaner' dan ibu ada juga menjual botol dan kotak yang dikumpulkan untuk pendapatan tambahan serta menerima sedikit sumbangan ehsan daripada orang ramai," katanya.

Nur Amira berkata, selain keluarga, semua gurunya juga banyak membantu dengan mengajar dan memberi motivasi untuk terus berusaha.

"Syukur Allah swt berikan saya kelebihan untuk senang memahami pelajaran dan saya gunakan sebaiknya untuk SPM.

"Memandangkan PdPR baru diperkenalkan saya menggunakan cara menyediakan jadual setiap kali kelas online, kemudian membuat 'reminder' di telefon bimbit dan set 'alarm' supaya tidak terlupa atau terlajak tidur.

"Selepas itu saya sediakan buku catatan dan rujukan," katanya yang menasihati agar sentiasa positif dalam hidup dan hadapi segala cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:13 PM