KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang di Plaza Tol Setia Alam, dari arah Setia Alam ke Shah Alam, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian 3 petang itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Setia Alam menuju ke Shah Alam.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Honda City itu hilang kawalan dan merempuh konkrit pembahagi laluan di lorong tol Smart-tag (M05).

"Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu sebelum dikeluarkan bomba," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APK) 1987.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar kereta mangsa yang rosak teruk di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:26 PM