KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan di  Persiaran Kerjaya, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan di Persiaran Kerjaya, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Ruwaida Md Zain


LELAKI maut apabila kereta dipandu hilang kawalan dan merempuh sebuah motosikal sebelum terbabas lalu melanggar tembok di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengaturcara, Persiaran Kerjaya, Shah Alam, pada 1.34 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan mendapati pemandu kereta Volkswagen berusia 42 tahun dipercayai memandu laju.

“Saksi di tempat kejadian mendakwa kereta itu dipandu laju dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Persiaran Kerjaya sebelum terbabas melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan.

“Mangsa yang berasal dari Shah Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Katanya, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Azman berkata, penunggang motosikal Abdul Islam, 38, yang juga warga Bangladesh cedera lalu dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis juga meminta saksi tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 8:08 PM