Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kira-kira 20 peratus yang mendaftar menerima vaksin di aplikasi MySejahtera namun gagal hadir boleh membuat penjadualan semula.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini seramai 80 peratus yang mendaftar menerima vaksin hadir dan memenuhi janji temu yang diberikan.

"Ada pelbagai sebab dan alasan diberikan kira-kira 20 peratus penerima vaksin yang gagal hadir.

"Namun mereka (yang gagal hadir) boleh membuat penjadualan semula untuk divaksin.

"Jika tidak dapat hadir temujanji vaksin ditetapkan penerima seharusnya mengesahkan kehadiran mereka dengan menekan data tidak dapat hadir bagi membolehkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkaitan membuat keputusan memberikan kepada penerima lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, Khairy berkata, dua PPV Industri akan dibuka di Johor bagi memvaksin pekerja industri negeri ini.

Katanya, ia membabitkan PPV Industri di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Kota Tinggi, yang akan dibuka 16 Jun ini.

"Sebuah lagi PPV Industri akan dibuka di Mount Austin, Johor Jaya, menjelang akhir tahun ini di kawasan yang dipenuhi pekerja industri itu.

"Sekiranya bekalan vaksin tidak ada gangguan, saya menjangkakan bahawa kerajaan dapat selesaikan memberi vaksinasi kepada tiga juta penduduk Johor pada akhir Oktober ini, " katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, perbincangan juga sedang dilakukan terhadap sektor swasta serta sektor lain di negeri ini bagi membuka PPV skala besar bagi pekerja industri terbabit.

"Kita sedang berbincang dengan sektor perladangan untuk buka PPV skala besar di kawasan ladang, selain sektor pembinaan dan peruncitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 3:53 PM