PETUGAS PKPD Mukim Juasseh menunjukkan sebahagian bekalan makanan kering yang dibekalkan kepada penduduk di kawasan itu. FOTO ihsan Petugas PKPD
PETUGAS PKPD Mukim Juasseh menunjukkan sebahagian bekalan makanan kering yang dibekalkan kepada penduduk di kawasan itu. FOTO ihsan Petugas PKPD
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Penduduk Mukim Juasseh, di sini, yang terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sentiasa menerima bekalan makanan mencukupi.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, bekalan makanan disumbangkan seminggu sekali mengikut kapasiti diperlukan.

Beliau berkata, terdapat 2,125 penduduk dari 302 rumah membabitkan tiga kawasan taman perumahan dalam Mukim Juasseh terbabit dengan PKPD berkenaan.

"Bekalan makanan asas bagi penduduk dikenakan PKPD itu sentiasa dipastikan mencukupi dalam tempoh seminggu akan datang.

"Bekalan itu disumbangkan kepada penduduk sejak minggu lalu bagi menampung keperluan mereka.

"Ia membabitkan makanan kering dan basah seperti ayam, ikan dan sayuran segar mengikut keperluan dan sekiranya tidak mencukupi mereka boleh menghubungi talian utama atau hotline 017-6552040 untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Faizal menafikan dakwaan barangan basah dijual di kedai runcit dalam kawasan PKPD terbabit tidak segar.

Beliau berkata, petugas di PKPD terbabit sudah membuat pemeriksaan di beberapa kedai dalam kawasan itu dan mendapati bekalan makanan basah dijual adalah segar dan berkualiti.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keperluan penduduk yang terbabit dengan PKPD itu.

"Saya menasihatkan penduduk di kawasan PKPD ini tidak mengeluarkan kenyataan tidak benar dan jika ada kekeliruan, mereka boleh menghubungi kami untuk mendapat maklumat sah.

"Makanan diserahkan sekali seminggu ini adalah bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan," katanya.

Mohd Faizal, berbeza dengan PKPD di tempat lain, PKPD Mukim Juasseh diberi kelonggaran apabila ahli keluarga tidak memakai gelang merah jambu dibenarkan keluar membeli barang keperluan asas di kedai runcit dalam kawasan PKPD itu.

Beliau berkata, penduduk dibenarkan memesan makanan dan diletakkan terlebih dahulu ke pos pengawal sebelum ia dihantar kepada keluarga terbabit.

PKPD Mukim Juasseh dilaksanakan bermula 31 Mei lalu hingga 13 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:44 PM