KEADAAN Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini. FOTO Danial Saad
KEADAAN Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli


Butterworth: Kaedah mengepam air yang bertakung dari dalam Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam, di sini, adalah langkah terbaik yang dapat dilakukan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

Pengerusi SPPP Datuk Tan Teik Cheng berkata, ia berikutan tidak ada cara lain bagi menaikkan feri ke darat dalam masa yang singkat.

Katanya, air sudah dipam keluar dari feri berkenaan ketika air surut pada 4 petang tadi dan kebocoran akan diperbaiki bagi memastikan feri terbabit kembali terapung.

"Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat secara maya diadakan SPPP dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pagi tadi bagi mengepam air keluar sekali gus membolehkan kerja pembaikan dibuat PPSB dan kontraktor.

"Kita harap semua pihak memahami bahawa feri ini sudah lama berhenti operasi, manakala operasi bot laju dan feri semasa yang membawa motosikal dan basikal diteruskan seperti biasa serta tidak terjejas," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, SPPP memutuskan untuk menempatkan Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam selepas operasinya ditamatkan pada November 2019 kerana air cetek dan tidak akan menyebabkan feri hanyut.

Ketika perkhidmatan Feri Pulau Pinang ditukar kepada bot laju pada 1 Januari 2021, SPPP juga memasukkan ia dalam senarai muzium terapung.

Menurutnya, SPPP sudah membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu di mana satu daripadanya dihadiahkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Katamya, selain itu feri berkenaan akan dijadikan feri pelancongan atau restoran terapung dan satu lagi akan dijadikan muzium terapung.

"Banyak syarikat sudah mengemukakan cadangan dan penilaian juga sudah dibuat serta mendapat calon yang sesuai.

"Dua feri sudah mendapat pembida yang memenuhi syarat, manakala tiga feri lagi juga ada pemohon yang sesuai.

"Semua feri ikonik ini dijangka diserahkan kepada pembida yang berjaya pada Julai ini dengan kontrak sehingga 10 tahun atau tambahan lima tahun, atau 15 tahun kemudian akan ditandatangani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:25 PM