Keadaan Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini, kerana ia sudah uzur dan mengalami kebocoran.  FOTO DANIAL SAAD
Keadaan Feri Pulau Pinang terdampar dengan sebahagiannya ditakungi air di Limbungan Bagan Dalam di sini, kerana ia sudah uzur dan mengalami kebocoran. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Feri Pulau Pinang dijangka kembali terapung pada malam esok selepas kerja membaiki feri ikonik itu dijalankan sejak petang semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, kerja pembaikan feri itu dijalankan bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan syarikat kontraktor.

Katanya, pihak yang mengkritik SPPP seolah-olah menghancurkan warisan Pulau Pinang adalah berniat jahat.

"Kenyataan mereka sama sekali tidak betul dan tidak bertanggungjawab kerana feri Pulau Pinang yang uzur itu sudah tidak dapat beroperasi seperti biasa pada hujung 2019.

"Berikutan tiada alat ganti mencukupi serta enjin tidak dapat dibaiki, maka ia dihantar ke Limbungan Bagan Dalam, Butterworth pada November 2019," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Teik Cheng berkata, ketika ini SPPP membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) tahun ini, dan feri Pulau Pinang sudah disenaraikan sebagai muzium terapung.

"Malah ia juga dirancang bagi ditempatkan di Tanjung City Marina, di sini, kelak," katanya.

Terdahulu, tular mengenai keadaan feri berkenaan yang dimasuki air dan hampir tenggelam akibat didakwa tidak diselenggara dengan baik sebelum mendapat perhatian Teik Cheng yang meninjau keadaan itu.

Siasatan yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kebocoran pada feri berkenaan menyebabkan air masuk dan memenuhi bilik enjin sekali gus menyebabkan kedudukan feri menjadi condong.

Tindakan mengepam air keluar sudah dilaksanakan ketika air surut pada 4 petang semalam bagi membolehkan kerja pembaikan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:18 PM