ROMIKORONALDO menunjukkan kad pengenalannya. FOTO Mary Victoria Dass
ROMIKORONALDO menunjukkan kad pengenalannya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pelbagai dugaan ditempuhi sejak pandemik Covid-19 termasuk diserang Bell's palsy atau kelumpuhan otot muka tidak melunturkan semangat seorang lelaki yang memiliki nama unik, Romikoronaldo Edy Basirman untuk terus berusaha bagi menaik taraf kehidupannya.

Romikoronaldo, 34, berkata, dia yakin pelbagai cabaran dialami adalah sebahagian daripada pengalaman dalam hidup dan perlu menerima dengan hati terbuka.

Menurutnya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada tahun lalu, dia bekerja sebagai ejen penjual mesin penapis air namun atas kekangan prosedur operasi standard (SOP), dia mengambil keputusan mencari sumber pendapatan lain.

Katanya, pada awal PKP 1.0, dia membantu rakan berniaga buah-buahan di hadapan sebuah restoran di bandar raya ini.

"Namun, saya tidak mampu meneruskan pekerjaan kerana rumah di Plentong diancam banjir kilat yang mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

"Selepas banjir, saya mengeluarkan modal untuk berniaga sate dengan membuka sebuah gerai di tepi rumah dan jualannya mendapat sambutan ramai.

"Malangnya pada Oktober tahun lalu, saya berdepan musibah apabila diserang Bell's palsy hingga mengakibatkan otot muka menjadi lumpuh. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menutup kedai kerana mahu memberi tumpuan kepada proses kesembuhan," katanya.

Romikoronaldo yang bergiat aktif dalam Alumni Ahli Parlimen Belia Malaysia berkata, dia bersyukur dan sentiasa menyedari bahawa Allah SWT menyayanginya hingga diberi ujian.

"Saya yang yakin pengalaman ini bagi muhasabah diri.

"Alhamdulillah keadaan diri saya semakin baik selepas beberapa sesi rawatan dan doktor menyatakan penyakit yang dihidapi ini bukan kekal selain terdapat peluang untuk sembuh sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia kini membantu adiknya dalam bidang pertukangan besi di Taman Kota Masai di sini.

"Kerja ini bukan mudah kerana ia memerlukan kemahiran pertukangan tinggi dan memerlukan tenaga.

"Saya gembira melakukan semua ini walaupun keadaan kesihatan saya belum sembuh 100 peratus," katanya.

Romikoronaldo berkata, dia berpegang kepada falsafah hidup iaitu tidak sesekali berputus asa walau apa jua keadaan.

"Apa yang penting tidak putus asa dan terus berusaha. Yakinlah suatu masa anda akan berjaya, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 1:03 PM