Che Hassan Che Johan
Che Hassan Che Johan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa syarikat insurans di negara ini menyelaraskan perlindungan kepada pemilik polisi yang berdepan kesan sampingan selepas suntikan vaksin.

Ini kerana tata cara yang ada ketika ini tidak sama antara satu syarikat dengan syarikat lain bagi tujuan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, dalam keadaan negara sedang berdepan pandemik, sewajarnya perkara itu diberi perhatian demi memberi manfaat kepada pemegang polisi.

Katanya, pihaknya menerima aduan mengenai perlindungan yang tidak selaras khususnya kepada mereka yang berdepan kesan sampingan selepas disuntik vaksin.

"Saya dimaklumkan ada yang disenaraikan di dalam insuran manakala ada yang tidak. Setakat yang kita tahu penyakit akibat wabak seperti sekarang tidak ada perlindungan, tetapi bagaimana pula dengan kesan selepas vaksin.

"Contohnya seseorang mengambil suntikan vaksin, selepas beberapa hari dia terkena serangan jantung kerana kesan sampingan akibat suntikan. Sepatutnya itu termasuk di dalam perlindungan," katanya.

Azman Kang Abdullah
Azman Kang Abdullah

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, dengan norma hidup baharu, sudah sampai masanya butiran di dalam perlindungan insuran juga disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Katanya, ia juga bagi menunjukkan kebersamaan semua pihak dalam berdepan pandemik yang mungkin dilalui dalam tempoh yang panjang.

"Institusi kewangan, perindustrian dan lain-lain semuanya sudah terbiasa dengan keadaan ini sejak setahun lalu.

"Kali ini syarikat insuran pula yang perlu memberikan manfaat kepada pemegang polisi sesuai dengan perlindungan yang dibayar sebelum ini.

"Jika ini dapat dilakukan, saya percaya usaha memerangi wabak ini akan menjadi lebih mudah kerana semua sistem sokongan bersama-sama membantu pihak berwajib," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:42 PM