PUSAT urut diserbu polis selepas didapati beroperasi dalam tempoh PKP. FOTO Ihsan PDRM
PUSAT urut diserbu polis selepas didapati beroperasi dalam tempoh PKP. FOTO Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri

Melaka: Tindakan sebuah pusat urut yang beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Penuh Pergerakan (SPP) mengundang padah apabila pemiliknya dikompaun RM10,000 selepas premis di Taman Melaka Raya itu diserbu polis, petang semalam.

Serbuan kira-kira 3 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, susulan serbuan itu, lima individu termasuk tiga wanita warga asing yang juga tukang urut berusia antara 23 hingga 53 tahun ditahan.

Beliau berkata, dua daripada tukang urut itu adalah warga Thailand serta seorang warga Laos manakala pemilik dan penjaga premis lelaki tempatan.

"Siasatan dijalankan mendapati premis ini tidak ditutup dan beroperasi seperti biasa dalam tempoh SPP ini khas untuk pelanggan tetap dan mereka perlu membuat tempahan melalui telefon.

"Alasan diberikan oleh pemilik pusat urut berusia 48 tahun tindakan itu dilakukan bagi kelangsungan perniagaan, selain untuk menampung perbelanjaan seperti sewa premis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semakan dilakukan juga mendapati dua daripada tukang urut itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana pasportnya sudah tamat tempoh.

"Selain itu, kami turut merampas buku catatan rekod pekerja dan juga pasport wanita terbabit.

"Kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa," katanya.

Mohd Sukri berkata, selain pemilik pusat urut yang dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan, penjaga premis berusia 53 tahun turut dikompaun RM2,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Pemilik premis itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 8:59 AM