DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah merangka prosedur operasi standard (SOP) komprehensif, relevan dan praktikal.

Ia bagi membantu kelangsungan operasi serta pelan kesinambungan syarikat dan industri khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok sehingga 26 Januari ini.

Menteri Kanannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, SOP itu dirangka hasil daripada libat urus dan kerjasama dengan persatuan industri, dewan perniagaan dan lain-lain pihak berkepentingan.

Menurut Mohamed Azmin, keputusan kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi perlu, termasuk pengilangan dan pembuatan, dibenarkan beroperasi adalah bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara, kemampanan perniagaan, mengelak kadar kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan rakyat terus mendapat akses keperluan asas serta kritikal sepanjang tempoh PKP.

"MITI sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan dan perkembangan aktiviti industri, perdagangan serta pelaburan negara sentiasa terbuka menerima pandangan yang dikemukakan oleh persatuan industri dan dewan perniagaan.

"Pandangan industri adalah penting untuk membantu kerajaan mencapai keseimbangan di antara perlindungan kesihatan dan keperluan menjana serta merangsangkan semula sektor ekonomi negara.

"Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi bagi menjamin kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, enam negeri yang dikenakan PKP adalah pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 66.3 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK.

"Selangor menyumbang 24.2 peratus kepada KDNK negara diikuti Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus), Sabah (6.0 peratus ) dan Melaka (3.1 peratus).

"Tindakan yang bertanggungjawab ini akan dapat memberi impak positif khususnya dalam usaha kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan tempatan dan asing serta kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS).

"Di antara pertimbangan penting yang turut diambil kira oleh kerajaan adalah keperluan untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport negara memandangkan Malaysia salah satu negara utama dalam eko-sistem rantaian bekalan global.

"Sektor ekonomi dalam perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP merangkumi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah kawal selia MITI serta sektor pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa Kementerian dan agensi lain.

"SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun di www.miti.gov.my," katanya.

Mohamed Azmin berkata, syarikat yang sudah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu 'Covid-19 Intelligent Management System' (CIMS) melalui pautan https://notification.miti.gov.my tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Sebaliknya, syarikat berkenaan hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang boleh dimuat turun mulai hari ini bermula jam 3 petang.

"Syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian di pautan https://notification.miti.gov.my mulai jam 3 petang hari ini.

"Surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

"Pendaftaran ini hanya terpakai untuk syarikat dalam sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaan MITI malah majikan bertanggungjawab memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran untuk membolehkan pergerakan pekerja dalam tempoh PKP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 3:58 PM