Sebahagian warga emas yang hadir untuk menerima suntikan Vaksin di MITEC. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Sebahagian warga emas yang hadir untuk menerima suntikan Vaksin di MITEC. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 1,080,568 individu di negara ini melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, seramai 1,927,861 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,008,429 setakat semalam.

Beliau berkata, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 141,622 dos diikuti Sarawak (111,037), Perak (101,400), Kuala Lumpur (96,834) dan Johor (95,680).

Setakat semalam, 50.6 peratus atau 12,267,350 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,267,197 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lalu membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:13 PM