443,029 individu melengkapkan dua dos vaksin Covid-19. FOTO NSTP
443,029 individu melengkapkan dua dos vaksin Covid-19. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 443,029 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 701,812 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini kini berjumlah 1,144,841 dos.

Menerusi satu infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 98,877 individu, diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (69,523), Johor (67,477) dan Perak (58,297).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 63,166, diikuti Perak (48,822), Sabah (43,304), Kuala Lumpur (38,642) dan Sarawak (34,590).

Mengenai jumlah mereka yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata setakat semalam, seramai 8,992,832 atau 37.1 peratus daripada yang disasarkan mendaftar dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,365,769 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:55 PM