Penuntut UiTM Shah Alam, Anita Mohd Nor Mazlan, 22,  (kiri) bersama barangan berupa tuala wanita untuk golongan memerlukan di premis Kaki Lelong di Jalan Pantai, Taman Mewah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Penuntut UiTM Shah Alam, Anita Mohd Nor Mazlan, 22, (kiri) bersama barangan berupa tuala wanita untuk golongan memerlukan di premis Kaki Lelong di Jalan Pantai, Taman Mewah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sumbangan barangan makanan harian atau 'Foodbank' sudah lazim dianjurkan namun sumbangan

'Padbank' atau tuala wanita mungkin pertama kali diperkenalkan oleh penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penuntut kejuruteraan UiTM Shah Alam, Anita Mohd Nor Mazlan, 22, berkata, dia terfikir memperkenalkan 'PadBank' bertujuan membantu golongan asnaf yang memerlukan bantuan barangan peribadi seperti tuala wanita.

"Selalu kita dengar berkaitan 'Foodbank' tetapi jarang kita dengar pasal 'PadBank' kerana ia adalah kegunaan pakaian dalam wanita dianggap sensitif.

"Apapun pandangan umum, tuala wanita adalah keperluan penting bagi wanita terutama penuntut dari golongan asnaf dan miskin," katanya ketika ditemui di premis Kaki Lelong di Jalan Pantai, Taman Mewah di sini,tadi.

Menurutnya, 'Padbank' diperkenalkan itu mampu membantu penuntut yang berdepan masalah kewangan,

, kesukaran dari segi logistik mendapatkan tuala wanita terutama wanita luar bandar dan kekurangan pengetahuan penggunaan tuala wanita dengan betul.

Anita berkata, ini adalah projek rintis yang akan diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama bersama Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) sebagai rakan strategik.

"Kami dengan kerjasama PERKASIH N9 mengalu-alukan sokongan dan bantuan serta kerjasama semua pihak sama ada dalam bentuk kewangan, tuala wanita, 'sanitary bag', rak atau almari penyimpanan tuala wanita dan promosi program.

"Sebarang cadangan dan bantuan boleh menghubungi saya (Anita) di talian 017 2351343 atau terus menyumbang dalam akaun PERKASIH N9 di nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05100-41-00036695-3," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, dia amat mengalu-alukan mana-mana anak muda yang 'kaya idea' menyumbang mengikut kreativiti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:13 PM