Jahidah masih koma walaupun sudah dibenarkan keluar dari wad di Hospital Tuanku Ja`afar Seremban, Ahad lalu. FOTO Ihsan Fazariah Nordin.
Jahidah masih koma walaupun sudah dibenarkan keluar dari wad di Hospital Tuanku Ja`afar Seremban, Ahad lalu. FOTO Ihsan Fazariah Nordin.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Kami sekeluarga rasa sebak dan sedih melihatnya. Walaupun sudah boleh dibawa pulang ke rumah, namun dia masih koma," ujar Fazariah Nordin, adik kepada Jahidah Nordin, 43, yang bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya pada 4 Mei lalu.

Fazariah, 38, berkata, kakak sulung daripada tujuh beradik itu dibenarkan keluar daripada wad di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban di sini, pada petang Ahad lalu atas nasihat doktor.

"Doktor menasihatkan supaya kakak dibawa pulang ke rumah kerana ia lebih selamat berikutan keadaan pesakit Covid-19 di hospital yang terus bertambah.

"Namun, kakak masih belum sedarkan diri selepas 27 hari dia dirawat di hospital. Cuma ketika ini dia tidak lagi menggunakan bantuan alat pernafasan sebaliknya boleh bernafas dengan sendiri.

"Tapi, kakak juga masih tidak boleh bercakap dan dia juga tidak memberikan sebarang tindak balas dari segi pergerakan fizikal apabila kami cuba berkomunikasi dengannya," katanya tadi..

Fazariah berkata, tidak banyak perubahan dari segi kesihatan pada diri Jahidah kerana dia masih belum sedarkan diri dan belum boleh membuka mata.

Beliau yang menetap di Sungai Udang Melaka berkata, kecederaan dialami kakaknya akibat dipukul amat serius.

"Daripada apa yang kami perhatikan terdapat kesan lebam pada bahagian matanya yang mungkin disebabkan ditumbuk. Tulang belakangnya juga ada kesan bengkok.

"Memang sedih melihat dia dalam keadaan terbaring, apatah lagi dia sedang hamil anak pertama," katanya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila pasukan perubatan memaklumkan kakaknya itu berkemungkinan hilang ingatan selain peluang untuk pulih seperti biasa adalah tipis.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga terpaksa mengawasinya setiap masa bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya, pihak hospital berhampiran juga sudah memberikan tarikh rawatan janji temu untuk kakak mendapatkan rawatan yang baik.

"Ketika ini kakak hanya diberikan susu khas dengan menggunakan saluran tiub," katanya tidak berputus mendoakan Jahidah dapat kembali pulih.

Mengenai perkembangan suami kakaknya yang juga suspek, Fazariah berkata, sehingga kini dia dan ahli keluarganya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kedudukan lelaki itu yang sedang diburu polis.

"Tiada perkhabaran apa-apa (tentang suspek) daripada pihak polis setakat ini. Kami sekeluarga berharap agar dia (suspek) dapat segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mangsa boleh berbuat menyalurkan bantuan ke akaun bank CIMB Fazariah Nordin 7052698705.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, mangsa yang menetap di Johor Bahru mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Berdasarkan laporan media, polis Johor sedang giat mengesan lelaki dikenali sebagai Rosmaini Abd Raof, 38, yang juga suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:05 PM