Ahmad Hasbi


Seremban: Keluarga kepada Jahidah Nordin, 43, wanita koma yang melahirkan anak secara pembedahan malam tadi mencadangkan meletakkan nama bayi itu Jihady Nasywan.

Jihady daripada perkataan jihad dari segi bahasa bermaksud berjuang bersungguh-sungguh dipilih keluarga kerana kekuatan dan semangat bayi serta Jahidah yang bersama-sama berjuang meskipun berada dalam keadaan koma.

Adik kepada Jahidah, Fazariah Nordin, 38, berkata, kakaknya selamat melahirkan bayi dengan berat dua kilogram di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban kira-kira jam 9 malam dan dua beranak itu kini berada dalam keadaan stabil.

"Buat masa ini pihak keluarga belum mendapat tahu jantina bayi berkenaan kerana kami tidak dibenarkan untuk melawat kedua-duanya. Berdasarkan imbasan sebelum ini doktor memaklumkan bayi berkenaan adalah lelaki.

"Mungkin ini prosedur pihak hospital bagi memastikan jantina bayi disahkan oleh waris sebenar," katanya ketika ditemui di kediaman kakaknya di Nusari Bayu, Sendayan, di sini, hari ini.

Fazariah berkata, berdasarkan makluman pihak hospital sebelum ini, Jahidah sepatutnya menjalani pembedahan hari ini, namun keluarga mendapat panggilan memaklumkan air ketuban pecah malam tadi sebelum dimasukkan ke dewan pembedahan.

"Doktor menghubungi kami jam 11.30 malam memaklumkan kakak sudah selamat bersalin. Kakak dan bayi dalam keadaan stabil. Usianya baru 37 minggu dalam kandungan dan lahir lebih awal atau pra-matang," katanya.

FAZARIAH membuat menyediakan pakaian bayi untuk kakaknya yang melahirkan anak secara pembedahan malam tadi. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
FAZARIAH membuat menyediakan pakaian bayi untuk kakaknya yang melahirkan anak secara pembedahan malam tadi. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Fazariah berkata, memandangkan imbasan sebelum ini menunjukkan kandungan Jahidah adalah bayi lelaki, keluarga berkira-kira meletakkan bayi berkenaan dengan nama Jihady Nasywan yang bermaksud kegembiraan perjuangan.

"Ketika kakak koma, kandungan baru berusia enam minggu. Meskipun dengan keadaan kakak yang tidak mendapat nutrisi yang sepatutnya bagi ibu mengandung, namun bayi membesar dengan sihat.

"Semangatnya kuat kerana sebelum ini kami pernah mengusap perut kakak, bayi sangat aktif bergerak. Perasaan saya sendiri bercampur baur ketika ini, gembira, bersyukur, sedih dan takut," katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Fazariah berkata, dia dan kakaknya Fauziah Nordin, 40, akan menjaga bayi berkenaan di Seremban kerana tidak mahu anak saudaranya itu berpisah jauh dengan ibunya.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Mangsa parah di kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 3:55 PM