Rafidah Mat Ruzki dan Suzalina Halid


Putrajaya: Individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui MySejahtera dinasihatkan membuat semakan terhadap alamat yang diberikan ketika pendaftaran dibuat menggunakan aplikasi berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini timbul isu individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui MySejahtera diberikan temu janji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri lain.

Beliau berkata, apabila semakan dilakukan, pihaknya mendapati ia berlaku ketika pendaftaran dibuat individu terbabit menggunakan Google Maps Aplikasi Program Antaramuka (API) untuk menetapkan lokasi masing-masing dengan menaip nama taman perumahan atau lokasi mereka.

Katanya, apabila carian Google Maps API kemudian membuat padanan terhadap nama taman perumahan atau lokaliti yang mempunyai nama yang sama di seluruh negara.

"Sebagai contoh, ada seseorang menetap di Taman Bahagia di Kuala Lumpur dan menaip 'Taman Bahagia' dan semua Taman Bahagia di Malaysia akan disenaraikan sebagai cadangan Google Maps API.

"Mereka kemudian 'klik' pada 'Taman Bahagia' yang pertama menyebabkan penetapan itu dibuat ke Taman Bahagia di Sandakan, Sabah.

"Berikutan itu, kami letakkan ciri tambahan dalam MySejahtera untuk anda mengesahkan alamat sebenarnya termasuk negeri dan poskod.

"Mesej saya kepada pengguna MySejahtera, sila kemas kini alamat anda supaya insiden itu dapat dikurangkan dan dihentikan," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Pada masa sama, Khairy berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan Help Desk interaktif untuk membantu kes yang dihantar ke PPV di negeri lain atau jauh daripada alamat masing-masing kerana isu Google Maps API itu.

Sementara itu, Khairy berkata, perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di semua PPV di seluruh negara, tanpa mengira saiz dan kapasiti adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, pihaknya menyedari kesesakan yang berlaku di PPV berskala besar sebelum ini, namun beliau sudah mengarahkan pengurusannya untuk meneruskan pelaksanaan SOP dan pengawalan orang ramai bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Mengulas kebimbangan ditimbulkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz baru-baru ini berikutan kesesakan di PPV, Khairy berkata, penggunaan PPV berskala besar juga adalah sebahagian daripada PICK.

Beliau berkata, CITF sedang meningkatkan bilangan pengamal perubatan swasta untuk terbabit dalam pemberian vaksin supaya tumpuan tidak hanya di PPV berskala besar.

MySejahtera
MySejahtera

"Strategi yang digunakan ialah menggunakan pelbagai jenis PPV sama ada besar, kecil mahupun secara pandu lalu dan bergerak.

"Saya faham dengan kebimbangan yang ditimbulkan oleh Tan Sri Rafidah namun kita perlu memastikan kita masih mempunyai PPV berskala besar kerana pemberian vaksin di PPV sedemikian yang tertinggi.

"Ia mampu memberi vaksin kepada 8,000, (hingga) 10,000 penerima sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:20 PM