ANGGOTA polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kemaman untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kemaman untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Anggota polis direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang lelaki berkaitan kes rogol.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Azman Mustapha selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, hari ini.

Anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun ditahan di Bandar Dungun, di sini, selepas dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM2,500 daripada lelaki berusia 21 tahun, kira-kira 3.15 petang semalam.

Difahamkan, suspek meminta suapan bernilai RM5,000 daripada lelaki itu pada Rabu lalu untuk tidak memanjangkan satu kes rogol.

Suspek dikatakan bersetuju untuk menerima sebahagian daripada wang suapan berkenaan, sebelum ditahan.

Lelaki itu yang bertugas di Dungun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 3:15 PM