Pengunjung beratur untuk masuk di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya bagi membeli barang keperluan Aidilfitri. Foto Samadi Ahmad
Pengunjung beratur untuk masuk di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya bagi membeli barang keperluan Aidilfitri. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

MENJELANG 1 Syawal esok, pengunjung sanggup beratur lebih 400 meter (m) di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya hari ini untuk mendapatkan barang keperluan persiapan Aidilfitri.

Pengunjung mula beratur seawal 6 pagi di pasar berkenaan berikutan terdapat barangan keperluan yang lengkap selain berjaya mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan di lokasi mendapati walaupun beratur panjang, pengunjung tetap mematuhi penjarakan sosial mengikut garisan yang ditanda dan setiap daripada mereka memakai pelitup muka dan diperiksa suhu sebelum dibenarkan memasuki pasar.

Kakitangan kerajaan, Sharifah Nadia Syed Mohd Fadzil, 42, berkata, dia tidak kisah beratur selama dua jam kerana pasar berkenaan mematuhi SOP berada di tempat awam seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, dia mula berbaris pada 7 pagi dan tidak kisah kerana pasar itu berdekatan rumahnya dan banyak pilihan barangan boleh dibeli.

"Kelmarin, saya ada datang beli barang keperluan membuat rendang seperti ayam dan daging, harganya juga murah," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mahmod Ahmad, 59, berkata, dia juga sudah beratur selama dua jam untuk masuk ke pasar.

Menurutnya, dia ke pasar itu hanyalah bagi mendapatkan santan segar bagi masakan rendang.

"Saya tidak bimbang sekiranya bekalan ayam dan daging habis dijual di sini kerana beberapa hari lepas sudah membeli secara dalam talian dan harganya juga berpatutan serta mudah tanpa bersesak-sesak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 11:20 AM