ZURAIDA melihat anggota bomba melakukan proses nyahkuman pada Operasi Sanitasi Massa Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Desa 288, Taman Datuk Ahmad Razali. FOTO BERNAMA
ZURAIDA melihat anggota bomba melakukan proses nyahkuman pada Operasi Sanitasi Massa Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Desa 288, Taman Datuk Ahmad Razali. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari bermula hari ini, susulan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, operasi itu adalah satu inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain turut memfokuskan operasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tertinggi.

Katanya, tindakan lebih agresif harus diambil melalui operasi sanitasi awam ini termasuk kawasan perumahan, pasar dan sebagainya.

"Memandangkan Selangor menjadi tempat punca ekonomi negara kita, (operasi) ini adalah satu usaha yang kita harapkan akan memberi kesan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sanitasi JBPM di satu daripada lokaliti zon merah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata bermula Mac tahun lalu hingga hari ini, sebanyak 25,252 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 156 zon iaitu 120 zon merah, 14 zon jingga, 15 zon kuning dan tujuh zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata setakat semalam, seramai 2,702 pegawai bomba menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, seramai 16 pegawai telah disahkan positif, 96 dikategorikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI), 89 di bawah pesakit dalam pengawasan (PUS) dan seorang meninggal dunia akibat wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 2:38 PM