RAKAMAN video tular.
RAKAMAN video tular.
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menafikan video yang tular kononnya penunggang motosikal dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka yang bermula kelmarin kerana individu terbabit disaman selepas tidak menggunakan lorong motosikal.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya mendapati satu video tular operasi yang dijalankan oleh JSPT disalah tafsir sebagai tindakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka yang kini tersebar di media sosial.

Menurutnya, JSPT ingin menegaskan video yang ditularkan adalah operasi yang dijalankan oleh JSPT Selangor pada 12 Jun 2019 di Lebuh raya Persekutuan.

"Operasi diadakan bertujuan mengambil tindakan ke atas penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan.

"Hasil operasi sebanyak 227 saman dikeluarkan atas kesalahan yang mana menunjukkan masih ramai penunggang motosikal yang gagal patuhi peraturan selain risiko bahaya kepada petugas JSPT dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, JSPT menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran video atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati masih dengan sengaja mensensasikan isu berkenaan yang jelas untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:06 PM