YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bulan depan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, penangguhan itu yang dibuat atas titah perkenan Seri Paduka Baginda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan penangguhan itu selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

"Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak Covid-19.

"Ini merupakan kali kedua semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda ditangguhkan selepas pada tahun lalu, semua acara juga ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, walaupun tiada acara sambutan, 7 Jun depan tetap diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:45 PM