GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan mana-mana individu termasuk petugas barisan hadapan yang mendapat suntikan vaksin, bukanlah jaminan mereka menjadi kebal atau tidak dijangkiti virus Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, vaksin bukanlah ubat sebaliknya ia menguatkan antibodi atau daya ketahanan tubuh badan untuk melawan penyakit.

Menurutnya sekiranya semua orang beranggapan vaksin itu adalah ubat maka ianya tidak benar.

"Vaksin bukanlah 'freedom passport', sebaliknya bertindak untuk menguatkan tahap antibodi dan daya ketahanan badan kita.

"Bagi kes lebih 1,000 petugas barisan hadapan yang dikatakan dijangkit wabak ini biarpun telah mendapat dua kali suntikan, itu sebenarnya bergantung pada cara penjagaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mereka amalkan.

"Mungkin mereka menjaga ketat tahap kepatuhan SOP di tempat kerja tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka berada di luar atau ketika pulang ke rumah.

"Justeru kita perlu meningkatkan lagi tahap kepatuhan SOP termasuk menyahut saranan kerajaan untuk buat self lockdown (kawalan pergerakan kendiri) serta tingkatkan pengambilan suppliment supaya daya ketahanan badan kuat dan dapat melawan penyakit ini," katanya ditemui media selepas lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Di Dewan Taman Kerian Permai, di sini, hari ini.

Berhubung dakwaan netizen yang mengatakan kononnya vaksin yang dibekalkan kepada kerajaan mungkin diragui keasliannya dan meminta kerajaan mengkaji semula isi kandungan vaksin itu yang mungkin diisi air paip, Noor Azmi menegaskan dakwaan itu adalah tidak benar.

"Setakat ini tidak timbul isu ada bahan lain yang tidak jitu didalam vaksin yang dibekalkan kepada negara kita.

"Untuk setiap vaksin Covid-19 yang diperkenalkan ianya akan melalui satu proses yang sangat ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Bahkan ianya tidak hanya terhenti disitu dan akan dikaji lagi oleh pakar sebelum mendapat kelulusan untuk digunakan.

"Justeru kita tidak bercadang untuk mengkaji semula kandungan vaksin yang dibekalkan dan dakwaan pihak yang mengatakan kononnya vaksin ini diisi air paip adalah tidak berasas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 12:58 PM