FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rosyahaida Abdullah


TIGA individu termasuk seorang wanita warga asing dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam serbuan di empat lokasi berasingan sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi yang bermula pada jam 3.20 petang itu menyerbu sebuah syarikat kurier di Jalan Tandang di sini sebelum membawa kepada tiga serbuan berikutnya.

Menurut beliau, serbuan seterusnya dibuat kira-kira jam 10 malam di Sungei Way di sini yang menemukan lebih satu kilogram (kg) dadah disyaki jenis ketamin dan eramin 5 bersama seorang lelaki warga tempatan.

"Serbuan ketiga dilakukan di Bukit Jalil (Kuala Lumpur) sejam berikutnya kita merampas enam plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 300 gram, 500 biji pil eramin 5, 340 biji pil ecstasy, 294 bungkusan serbuk disyaki berisi dadah yang disembunyikan di dalam pembesar suara sebuah kereta jenis Toyota Altis.

"Manakala serbuan keempat di Taman Klang Utama (Selangor) dilakukan pada jam 4 pagi tadi yang membawa kepada penemuan dadah jenis syabu.

"Hasil keempat-empat serbuan, dadah seberat 9,304 gram bernilai lebih RM180,000 ditemui dan dirampas," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya di sini, hari ini.

Menurut beliau, tiga suspek terbabit terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berumur antara 23 hingga 36 tahun yang kini ditahan untuk membantu siasatan.

"Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Kita turut menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah RM320,000 dipercayai hasil penjualan dadah selain jongkong emas, gelang kaki dan loket rantai yang ditemui bersama mereka dengan nilai sitaan dianggarkan keseluruhan berjumlah lebih RM335,000.

"Hasil analisa mendapati kesemua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,217 penagih," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan.

"Siasatan dan risikan masih diteruskan bagi mengesan sindiket lain masih aktif dan bebas di kawasan Petaling Jaya demi menjamin daerah ini bebas dadah," kata Nik Ezanee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 6:13 PM