REMAJA (kanan) dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana didapati melanggar SOP PKP dan ingkar arahan kuarantin di rumah. . FOTO ihsan pembaca
REMAJA (kanan) dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana didapati melanggar SOP PKP dan ingkar arahan kuarantin di rumah. . FOTO ihsan pembaca
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Remaja lelaki dikenakan kompaun RM5,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain ingkar arahan kuarantin di rumah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA Anbalagan berkata, tindakan remaja terbabit dikesan ketika Op Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhampiran Jalan Permatang Damar Laut, di sini, hari ini.

Turut ditemukan ialah gelang merah jambu yang dipotong dan disimpan dalam beg sandang remaja berusia 16 tahun berkenaan.

Katanya, pada 2.53 pagi, remaja terbabit dilihat menunggang motosikal sebelum ditahan anggota polis yang bertugas.

"Remaja yang juga seorang pelajar itu mendakwa baru pulang dari rumah rakannya dan mahu ke rumah rakan yang lain.

"Kompaun sebanyak RM5,000 dikeluarkan kepada remaja terbabit berikutan kesalahannya," katanya di sini, hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar arahan pengasingan (kuarantin) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:58 PM