MAHERAN Daud, 54 hampir pengsan melihat jenazah Nur Izzati Afiqah Hussian, 29 sebaik di bawa ke rumah datuknya sebelum solat jenazah  di Kampung Gaung, Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAHERAN Daud, 54 hampir pengsan melihat jenazah Nur Izzati Afiqah Hussian, 29 sebaik di bawa ke rumah datuknya sebelum solat jenazah di Kampung Gaung, Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SELEPAS lima bulan menderita penyakit misteri sehingga fizikalnya membesar dua kali ganda, Nur Izzati Afiqah Hussian menghembuskan nafas terakhir, 10.30 malam tadi.

Ibunya, Maheran Daud, 54, berkata, beberapa jam sebelum Afiqah, 29, dijemput Ilahi, anak kedua dari tiga beradik itu asyik memanggil arwah bapanya yang meninggal dunia sejak 16 tahun lalu sambil melambai tangan.

Maheran yang sudah berasa tidak sedap hati berkata, dia memberitahu bahawa bapanya sudah lama meninggal dunia, namun tidak diendahkan, malah Afiqah berkata bapanya datang untuk menjemputnya.

“Dia asyik memanggil arwah abahnya sambil melambai-lambai tangan dengan mengatakan arwah datang untuk menjemputnya, namun saya tidak bertanyakan ke mana kerana sudah dapat merasakan yang Afiqah akan dijemput Ilahi.

“Sambil itu kami semua membacakan surah Yasin di sebelahnya dan sebaik tamat, Afiqah menyuruh membaca (Yasin) sekali lagi dan dia mengikutinya perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gaung Tendong, di Pasir Mas, hari ini.

Maheran berkata, beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, anaknya juga ada mengadu rasa letih sebelum keluar sedikit ketulan darah beku dari duburnya dan dia merasakan ajal anaknya semakin hampir.

ANGGOTA bomba dan penduduk kampung mengusung jenazah Nur Izzati Afiqah Hussian, 29 yang menghembuskan nafas terakhir di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA bomba dan penduduk kampung mengusung jenazah Nur Izzati Afiqah Hussian, 29 yang menghembuskan nafas terakhir di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, sebaik Afiqah tidak sedarkan diri, imam segera dipanggil dan Afiqah sempat mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Kami segera menghubungi klinik kesihatan di sini yang datang tidak lama kemudian untuk mengesahkan waktu kematian anak saya.

“Saya reda dengan pemergian Afiqah walaupun hanya berselang enam bulan sahaja dari tarikh anak bongsu dijemput Ilahi yang mana simptom yang dialami mereka berdua sama,” katanya memberitahu arwah anaknya itu sering merenung wajahnya dan kakak sulung serta persekitaran rumah, seolah-olah sudah tahu akan meninggalkan mereka.

Jenazah Afiqah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II), Kota Bharu untuk dimandikan dan tiba pada 1 tengah hari tadi di kediaman datuknya, tidak jauh dari rumahnya untuk upacara solat jenazah.

Proses pengebumian pula dibantu oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas yang membantu menurunkan jenazah ke liang lahad menggunakan peralatan khas.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung Tendong 2.30 petang tadi dengan dihadiri hampir 100 ahli keluarga dan penduduk kampung.

Maheran berkata, selepas kisah Afiqah dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini, ramai pengamal perubatan alternatif datang untuk cuba merawat anaknya dan keadaan Afiqah dilihat semakin baik kebelakangan ini.

“Saya perhatikan saiz fizikalnya yang asal hampir 300 kilogram ada menunjukkan penyusutan dan kaki kiri sudah boleh digerakkan sendiri serta dibengkokkan perlahan-lahan.

“Dia juga kerap memberitahu saya bahawa dia sudah reda dengan takdir yang menimpanya dan enggan lagi memikirkan sama ada ia perbuatan khianat (sihir) atau bukan,” katanya.

Berita berkaitan

Bagai dicucuk jarum, dicekik [METROTV]

'Jika benar disihir, kami maafkan...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 3:49 PM