WANITA Palestin di bandar Gaza. FOTO EPA
WANITA Palestin di bandar Gaza. FOTO EPA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Luar masih gagal mengesan seorang pegawai perubatan Malaysia dikenali sebagai Dr Nur yang dikatakan berada dalam tahanan pihak Israel seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi dan perincian insiden yang menimpa Dr Nur sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi serta menyalurkan bantuan konsular sewajarnya.

Katanya, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Jordan, Mesir dan Amman juga mendapati tiada individu bernama Dr Nur yang mendaftarkan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

"Kementerian turut berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti wanita terbabit.

"Segala maklumat yang dikemukakan orang awam termasuk tangkap skrin hantaran sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan sama memaklumkan usaha menghubungi dua individu didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan mempunyai maklumat mengenai Dr Nur juga gagal.

Justeru, kementerian menggesa pemilik akaun instagram @iesya_toh dan @nurhelizahelmi segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan Dr Nur.

Selain itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti dan keberadaan Dr Nur turut digesa mengemukakan maklumat menerusi emel [email protected].

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa Dr Nur dikatakan ditahan pihak Zionis ketika memasuki sempadan kem bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin.

Dr Nur juga didakwa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, luka teruk di bahagian dada, patah tangan, selain ditembak di kaki kerana melawan tentera terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 12:49 AM