HAZRUL Izham (kiri) mengaku tidak bersalah atas 30 pertuduhan mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu. FOTO Ersie Anjumin
HAZRUL Izham (kiri) mengaku tidak bersalah atas 30 pertuduhan mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu. FOTO Ersie Anjumin
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan dan penolong pengurus masing-masing mengaku tidak bersalah atas 30 dan lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu, hari ini.

Mohd Hazrul Izham Ali Akbar, 38, dan Hassan Ho Abdullah, 35, dituduh mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah membabitkan nilai keseluruhan RM1,446,980.

Pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Abu Bakar Manat.

Mohd Hazrul Izham dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu 30 invois cukai milik Syarikat Rezeki Naga kepada KPDNKK Sabah bagi tujuan menipu untuk mendapatkan tuntutan bagi membekal dan mengedar petrol RON95 dan diesel.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 Oktober 2015 di pejabat KPDNKK Sabah dan kes didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun yang sama, iaitu menggunakan surat palsu sebagai tulen, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Hakim Abu Bakar Manat kemudiannya membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki diikat jamin RM30,000 dengan deposit RM20,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Manakala Hassan dituduh menggunakan lapan dokumen palsu iaitu Surat Akuan dan Pengesahan Stesen Napson untuk tujuan menipu bagi tuntutan Projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) bagi syarikat Setia Gemilang Enterprise.

Semua kesalahan itu dilakukan pada 27 November 2018 bertempat di pejabat KPDNHEP Cawangan Kudat dan kes turut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun yang sama.

Hassan yang diwakili peguam Amli Nohin kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan deposit sebanyak RM10,000 serta seorang penjamin tempatan dan mahkamah turut menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:24 PM