Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Enam kontraktor termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah, lima tahun lalu.

Tertuduh Masri Nulhadi, 45 dan isterinya, Asmah Moong, 42; Darwin Mohd Kembal, 32; Mohd Nasir Mohammad, 34; Abdul Jalil Mohd Hassan, 52, dan Mohd Hafiz Irawan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017.

Kesemua tertuduh masing-masing berdepan dengan tiga pertuduhan kecuali Mohd Hafiz, yang didakwa dengan empat pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

ANTARA kontraktor didakwa di Mahkamah Khas Rasuah atas kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender menyewa dan mengurus kantin sekolah rendah di Semporna lima tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA kontraktor didakwa di Mahkamah Khas Rasuah atas kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender menyewa dan mengurus kantin sekolah rendah di Semporna lima tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Bagaimanapun, hakim membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan namun perlu membayar deposit RM5,000 kecuali Masri dan isterinya Asmah yang diperintahkan membayar deposit RM4,000.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Tawau setiap dua bulan serta dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah juga menetapkan 1 dan 2 Disember hadapan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rekhraj Singh, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 2:48 PM