SEORANG tertuduh (dua dari kanan) ditemani ahli keluarga ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SEORANG tertuduh (dua dari kanan) ditemani ahli keluarga ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Empat pemilik syarikat termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) empat tahun lalu.

Rogayah Ab Binang@ Abdul Binang, 42; Salamah Mohd, 30, serta Bahrin Ambo Eri @ Erek, 56, dan anak perempuannya Hasmizah Bahrin, 29, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017.

Kesemua tertuduh masing-masing berdepan dengan empat pertuduhan kecuali Salamah Mohd, yang dituduh dengan tiga pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

Hakim bagaimanapun membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan namun perlu membayar deposit RM5,000 kecuali Bahrin Ambo Eri yang diperintahkan membayar deposit RM6,000.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap dua bulan serta dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah juga menetapkan 7 Julai depan depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom bersama Nordinansah Kasim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:52 PM