KEADAAN kereta yang meletup di Kampung Sireh, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEADAAN kereta yang meletup di Kampung Sireh, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BERNAMA

Kota Bharu: Polis Kelantan meminta bantuan daripada Unit Bom Bukit Aman bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan insiden letupan kereta dalam kejadian di Persimpangan Kampung Sireh di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, polis juga akan menyiasat bagaimana lelaki yang maut dalam kejadian itu memperoleh bekalan mercun yang begitu banyak.

"Kita akan melakukan siasatan adakah mangsa ejen jualan mercun ataupun sebagai penjual. Berdasarkan rekod setakat semalam, mangsa juga sebelum ini memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Terusan, di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya putus dua disyaki akibat daripada letupan mercun yang dibawa di dalam keretanya, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang. Insiden berkenaan melibatkan empat mangsa tercedera serta lima lagi kenderaan turut terbakar dan rosak.

Mengulas mengenai punca kejadian, Shafien berkata berdasarkan maklumat awal ada yang mengatakan kemungkinan mangsa menghisap rokok malah mungkin kenderaan dinaiki mangsa dipanah petir kerana cuaca hujan ketika insiden letupan itu berlaku.

"Justeru, polis memohon kepada mana-mana saksi supaya tampil menyalurkan maklumat," katanya sambil menambah ia merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di Kelantan setakat ini.

Berita berkaitan


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 4:21 PM